PROGRAM ADAPTASI TEKNOLOGI

MEDAC-MTDC

Pengenalan

Pengenalan

Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) yang dilancarkan pada tahun 2019 menggariskan strategi jangka panjang untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan unggul menjelang tahun 2030. Antara sasaran utama yang ditetapkan untuk mencapai matlamat ini adalah dengan meningkatkan sumbangan Perusahaan Kecil dan Sederhana kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 50%.

Justeru, bagi mencapai sasaran tersebut, DKN2030 telah menggariskan strategi khusus untuk mempertingkatkan kemahiran dan keupayaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) melalui program dan bantuan bersasar yang berteraskan adaptasi teknologi, automasi dan digitalisasi.

Selaras dengan strategi ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah merangka dan melaksanakan program-program rintis pembangunan keusahawanan yang berasaskan teknologi dan digitalisasi bertujuan untuk membimbing PMKS, koperasi, perusahaan sosial, usahawan informal dan bakal usahawan mengadaptasi solusi teknologi dalam operasi perniagaan mereka.

Usaha ini adalah bertepatan dengan penyesuaian kepada norma baharu susulan impak wabak COVID-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah meningkatkan kadar penggunaan aplikasi teknologi dan digitalisasi dalam kalangan masyarakat secara umumnya. Situasi semasa ini telah mendorong usahawan untuk segera melaksanakan proses transformasi daripada kaedah konvensional kepada automasi dan pendigitalan serta memanfaatkan kelebihan teknologi dalam operasi perniagaan masing-masing.